Selasa, 9 September 2008

MEDAN CHONG WEI TEBUS MARUAH

SELEPAS melengkapkan aksi penuh debaran pada Sukan Olimpik di Beijing bulan lalu, sukan badminton kini kembali hangat apabila berlangsungnya Kejohanan Terbuka Jepun minggu depan.Menariknya, kejohanan Super Series ketujuh bagi tahun 2008 itu yang dijadualkan bermula pada 16 hingga 22 September ini bakal menyaksikan beberapa nama besar tidak beraksi, sebaliknya menghimpunkan kehadiran pemain baru serta gandingan baru.
Apa yang pasti, tiada lagi aksi Jens Eriksen mahu pun Martin Lundgaard serta Gail Emms.
Mungkin juga tiada lagi kelibat beregu veteran Malaysia, Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook ekoran keputusan Rexy Mainaky yang tidak menyenaraikan pasangan itu bagi perancangan Sukan Olimpik 2012.
Begitupun, aksi di Tokyo minggu depan bakal menyajikan saingan menarik membabitkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei yang bertekad untuk menebus kekecewaannya pada aksi akhir di Beijing lalu.
Chong Wei yang baru dinobatkan selaku pemain No. 1 dunia akan turun dalam misi mempertahankan kejuaraannya di Tokyo selepas menewaskan barisan pemain dunia termasuk Chen Jin, Lin Dan dan Taufik Hidayat tahun lalu.
Kali ini, Chong Wei dijangka memulakan aksi pusingan pertama dengan menentang pemain kelayakan sama ada bintang muda tuan rumah, Yuichi Ikeda ataupun pemain China, Zhu Weilun.
Chong Wei berkemungkinan bertemu pemain Indonesia, Simon Santoso di suku akhir sebelum diramal menghitung pertemuan dengan bekas juara Olimpik, Taufik Hidayat di separuh akhir.
Begitupun, pertemuan Taufik dan Chong Wei itu akan bergantung kepada aksi pemain meningkat naik dari Denmark, Jan Jorgensen yang pernah mengejutkan Peter Gade.
Sementara itu, Gade yang diletakkan selaku pilihan ketiga bakal berdepan cabaran daripada pemain-pemain China pada aksi di Tokyo kali ini.
Dia akan memulakan aksi dengan menentang Gong Weije, iaitu naib juara remaja dunia sebelum dijangka berdepan Lu Yi dan Chen Yu di suku akhir.
Pilihan kedua dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro pula akan memulakan saingan menentang pemain India, Anup Sridhar dengan bintang Thailand, Boonsak Ponsana bakal menantinya di suku akhir.