Rabu, 24 September 2008

BAJET TAMBAHAN UNTUK BADMINTON

Oleh YASMIN RAMANyasmin.raman@kosmo.com.my


PERUNTUKAN besar untuk pembangunan badminton negara.
Itu janji Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan sukan badminton terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa terutama pada temasya Sukan Olimpik.
"Selama ini badminton sememangnya menjadi sandaran negara untuk meraih pingat. Kita juga dapat lihat pencapaian sukan tersebut dari semasa ke semasa.
"Atas sebab itu, kementerian bercadang untuk menambah peruntukan terhadap sukan ini supaya ia dapat mengekalkan prestasinya sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa terutama temasya Olimpik," kata Ismail ketika ditemui Kosmo! selepas majlis berbuka puasa bersama atlet di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
Ismail berkata, peruntukan tersebut diberi bukan sahaja dari segi kewangan malah kementerian juga bercadang untuk membina pusat latihan badminton bagi merealisasikan sasaran tersebut.
"Tahun lalu, peruntukan sebanyak RM9 juta telah diberikan bagi sukan badminton dan ia sememangnya mendatangkan hasil..
"Selain kewangan, kementerian juga bercadang untuk membina pusat latihan badminton bagi mengenal pasti pemain pelapis," ujarnya.
Selain itu, Ismail mahu semua jurulatih yang terlibat dalam temasya Olimpik agar menyediakan laporan terperinci mengenai pencapaian atlet masing-masing.
Keputusan tersebut diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Sukan Olimpik 2008 yang diadakan kelmarin.
"Semua jurulatih yang terlibat dengan temasya Olimpik perlu menyediakan laporan terperinci tentang pencapaian atlet masing-masing.
"Sekiranya atlet mereka gagal kami nak tahu mengapa dia gagal. Dengan cara ini, kita dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi atlet serta jurulatih itu sendiri. Laporan perlu dihantar selepas Hari Raya nanti," tambah Ismail.
Pada majlis itu, Ismail turut menyampaikan insentif sebanyak RM100,000 kepada atlet paralimpik, Siow Lee Chan.
Lee Chan mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat gangsa menerusi acara powerlifting pada temasya Sukan Paralimpik XIII di Beijing baru-baru ini.