Isnin, 29 September 2008

TANPA IMPORT JEJAS LIGA MALAYSIA

MARLON ALEX (kiri) berjaya membantu Kedah menjulang gelaran \treble\ musim lalu.
LANGKAH Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan khidmat pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dijangka menjejaskan daya saing pemain dan pasukan tempatan.
Seorang ejen pemain import, Effendi Jagan Abdullah berkata, walaupun langkah itu memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan beraksi, namun mereka tidak dapat bermain bersama pemain import yang mempunyai corak permainan berbeza.
Effendi berkata, selama ini kehadiran pemain import mendorong pemain tempatan bermain lebih baik bagi merebut tempat yang terhad dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing.
"Dulu pemain tempatan terpaksa bekerja keras sekali gus meningkatkan kualiti permainan mereka.
"Saya percaya selepas ini persaingan hanyalah antara pemain tempatan yang kebanyakannya mempunyai corak dan kemahiran tak jauh beza antara satu sama lain," katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mengambil contoh Kedah sebagai pasukan yang paling banyak meningkat dengan kehadiran pemain import, Effendi berkata, skuad Kenari kini nyata terjejas berikutan keputusan FAM itu.
Katanya, ia dapat dilihat apabila pasukan itu tumbang dengan agregat 7-1 di tangan kelab Bahrain, Muharraq FC pada pusingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini selepas tidak lagi menggunakan tenaga import.
"Cuba kita lihat Kedah berjaya membentuk ramai pemain muda yang berbakat kerana mereka banyak belajar daripada pemain import seperti Marlon Alex James, Cornelius Bernard Huggins dan Nelson Sam Martin.
"Bagaimanapun saya rasa mereka akan berdepan masalah untuk bersaing di peringkat Asia dengan ketiadaan pemain-pemain tersebut melainkan usaha lain dibuat bagi menampung kekurangan itu.
"Mungkin ada beranggapan Kedah terlalu bergantung kepada pemain import, tetapi kita perlu sedar selama ini pemain-pemain muda mereka banyak menimba ilmu daripada tiga pemain import yang bagus itu," katanya.
Effendi yang merupakan ejen pemain berlesen dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berharap satu kajian terperinci dibuat bagi melihat kesan di sebalik ketiadaan pemain import selepas musim depan berakhir.
Katanya, saingan liga negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand membenarkan penggunaan pemain asing malah ada sehingga lima pemain dan ia banyak membantu kemeriahan dan pembangunan bola sepak negara berkenaan.
"Saya bukan bercakap kerana kepentingan saya sebagai ejen pemain, tapi kita kena terima hakikat dalam bola sepak profesional di seluruh dunia, khidmat pemain import memang diperlukan," katanya yang turut beroperasi sebagai ejen pemain di Asia dan Eropah.
Katanya, sekiranya FAM membenarkan semula pemain import pada masa depan, beliau mencadangkan hanya dua pemain dibenarkan dengan mengenakan syarat-syarat ketat.
Antaranya hanya mengambil pemain yang benar-benar terbukti kemampuan selain setiap pasukan perlu meletakkan wang pendahuluan atau bon bagi memastikan mereka benar-benar berkemampuan menanggung gaji pemain-pemain import.
Ujar Effendi, hanya pasukan yang berkemampuan sahaja wajar menggunakan khidmat pemain asing manakala pasukan yang tidak mempunyai kewangan kukuh sekadar bergantung kepada pemain tempatan.