Sabtu, 16 Ogos 2008

KEKUATAN MENTAL JADI PENENTU

Kekuatan mental jadi penentu

BEIJING - Kekuatan mental akan menjadi penentu kejayaan antara Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China yang akan bertarung pada perlawanan akhir acara badminton perseorangan lelaki pada Sukan olimpik XXIX hari ini.
Menyedari hakikat itu, Chong Wei menyiapkan dirinya dengan ketahanan mental menjelang perlawanan besar itu.
Dia bukan sahaja berdepan Lin Dan tetapi juga berdepan ribuan penyokong pemain lawannya itu.
Pingat emas sudah terhidang di depan mata dan kini terpulang kepada Chong Wei untuk meraihnya. Perak sudah pasti dalam genggamannya.
Jika ia menjadi kenyataan, Chong Wei akan mencipta sejarah dengan menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negara.
Tanpa mahu mengganggu persiapan Chong Wei, jurulatihnya Misbun Sidek tidak membenarkan media menemu ramah anak didiknya yang berumur 26 tahun itu termasuk dirinya sendiri.
"Chong Wei telah menang pertempuran tetapi belum lagi peperangan. Dia hanya melakukan latihan ringan dan mempersiapkan mentalnya, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian," kata pengurus pasukan, Datuk Lim Teong Kiat.
"Perlawanan akhir adalah perjuangan untuk maruah negara," kata Chong Wei sebaik menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-il 21-18, 13-21, 21-13 pada perlawanan separuh akhir kelmarin.
Tiada sebarang keraian menyambut kemenangannya itu kerana perjuangannya masih belum berakhir.
"Dia hanya pulang (ke perkampungan sukan) dan makan malam seperti biasa," kata Teong Kiat.
KEKUATAN mental Chong Wei akan diuji sekali lagi apabila berdepan dengan Lin Dan pada perlawanan akhir malam ini.
Menjelang perlawanan besar itu, tekanan dilihat memihak kepada Lin Dan yang menyifatkan Chong Wei sebagai pemain perseorangan terbaik kejohanan.
Kenyataannya itu mungkin cuba untuk meredakan tekanan ke atas dirinya untuk menyumbang emas kepada China dalam acara perseorangan lelaki yang kali terakhir menjadi milik mereka pada Sukan olimpik 2000 di Sydney.
Lin Dan juga mungkin terganggu dengan berita kekalahan tunangnya Xie Xingfang, pemain pilihan perseorangan wanita yang tewas kepada rakan senegara, Zhang Ning untuk mengekalkan gelaran juara.
Pertarungan antara Chong Wei dan Lin Dan bermula sejak Kejohanan Remaja Asia 2000 dengan Chong Wei berjaya menewaskan Lin Dan dengan hanya satu mata.
Pertembungan terakhir antara mereka ialah pada perlawanan kumpulan Piala Thomas di Indonesia Mei lepas, dengan kemenangan juga memihak kepada Chong Wei 21-12, 21-14.
Mereka bertemu dua kali tahun ini dan pada Terbuka Swiss sebelum kejohanan Piala Thomas, Lin Dan menewaskan Chong Wei 21-13, 21-18.
Dalam keseluruhan 15 pertembungan antara mereka, Lin Dan menang sembilan kali.

Jumaat, 15 Ogos 2008

TIGA JAGUH PECUT JADI TUMPUAN

Tiga jaguh pecut jadi tumpuan
BOLT (kiri), Powell (tengah) dan Gay akan turun dalam aksi saringan 100m hari ini dalam misi memburu gelaran Raja Pecut Sukan Olimpik XXIX.
BEIJING - Dua jaguh Jamaica, Usain Bolt dan Asafa Powell serta pelari pecut Amerika Syarikat, Tyson Gay bakal menjadi tumpuan apabila acara olahraga Sukan Olimpik XXIX Beijing membuka gelanggangnya hari ini.
Dua pingat emas bakal menjadi rebutan pada hari pertama acara olahraga dipertandingkan masing-masing menerusi acara 10,000 meter wanita dan lontar peluru lelaki.
Begitupun, di balapan, Bolt, Powell dan Gay akan cuba mencari slot ke perlumbaan akhir esok apabila turun dalam aksi saringan acara 100 meter hari ini.
Bolt merupakan pemegang rekod dunia dalam acara itu dengan catatan 9.72 saat, iaitu dua saat mengatasi rekod lama milik Powell.
Namun, Gay juga akan turun dengan reputasi selaku juara dunia selepas menewaskan Powell pada Kejohanan Dunia di Osaka tahun lalu.
"Semua orang sedang bercakap mengenai kami dan anda tahu bahawa Usain dan Tyson akan lawan yang hebat," jelas Powell.
"Tetapi anda juga tahu bahawa jika saya berada di hada- pan, memang sukar untuk mereka menewaskan saya."
Sementara itu, Adam Nelson dari Amerika Syarikat yang memenangi dua pingat perak dalam dua temasya Olimpik lalu menjadi pilihan untuk menjuarai acara lontar peluru dengan pelari wanita Habsyah, Tirunesh Dibaba diramal menguasai acara 10,000m. - AP

Selasa, 12 Ogos 2008

ATLET SEPANYOL PERTAMA DIKESAN GUNA DADAH

Pelumba basikal Sepanyol, Maira Isabelle Moreno menjadi atlet pertama yang gagal ujian dadah pada Olimpik kali ini.
Jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Giselle Davies berkata, atlet berusia 27 tahun itu disahkan positif menggunakan EPO selepas ujian pada 31 Julai lepas.
''Dia meninggalkan perkampungan atlet pada 31 Julai, sebelum keputusan diumumkan. Dia tahu keputusan yang akan keluar.
''IOC memandang serius perkara ini. Ujian itu membuktikan atlet itu mengambil EPO. Akreditasinya dibatalkan dan dikeluarkan daripada IOC,'' katanya.
Kata Davies, IOC telah meminta kesatuan sukan dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) merujuk perkara itu untuk hukuman disiplin selepas Olimpik berakhir.
Moreno dianggap salah seorang atlet terbaik untuk acara berbasikal yang boleh mengumbang pingat pada Olimpik di Beijing.
- AFP

Isnin, 11 Ogos 2008

MENGHARAP JASA TERAKHIR

Mengharap jasa terakhir
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIEnanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my
KHIDMAT Andres Fuentes pasti ditagih skuad Johor FC ketika berdepan Selangor pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam esok.

TIADA lagi nama-nama seperti Andres Fuentes Gustavo, Walter Ariel Silva dan Mouise Moudourao yang akan meniti di bibir peminat setia Johor FC pada saingan musim depan.
Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak lagi menggunakan tenaga import pada musim depan, kehebatan ketiga-tiga pemain tersebut dalam membantu Sang Lebah layak sehingga ke saingan separuh akhir Piala Malaysia ketika ini pastinya meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.
Apa yang pasti, kredibiliti ketiga-tiga tonggak tersebut sememangnya ditagih semasa menentang Gergasi Merah, Selangor dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam esok.
Berdasarkan reputasi semasa, nama Andres Fuentes sememangnya tidak asing bagi penyokong setia pasukan berstatus kelab itu.
Mempunyai larian deras serta kawalan bola yang mengagumkan, kelibat Andres Fuentes wajar diberikan perhatian oleh pertahanan Selangor jika tidak mahu berputih mata di gelanggang sendiri.
Begitu juga dengan Walter Ariel. Meskipun gagal menyerlah dalam edisi Piala Malaysia kali ini ekoran faktor kecederaan, dia kembali bangkit mempamerkan aksi sebenar termasuk ketika memadam cabaran UPB-MyTeam dengan agregat 6-4 pada aksi suku akhir yang lalu.
Malah, kelebihan Walter Ariel dalam membuat hantaran cantik dari tengah padang serta dibantu oleh pemain tempatan berbakat seperti Eddy Helmi Manan dan See Kok Luen menjadikannya sungguh berbahaya jika tidak dirantai sepenuhnya.
Moise Moudourou juga tidak kurang hebat. Sering menjadi benteng terakhir yang menjadi pilihan jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid, dia sering tenang mengawal kubu Sang Lebah bersama kapten pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail.
Cuma yang menjadi masalah, sikap Moise yang gemar naik membantu jentera serangan kadangkala boleh mengundang padah terutamanya ketika berdepan dengan pasukan yang sering melakukan serangan pantas.
Walaupun mungkin dianggap jasa terakhir ketiga-tiga pemain import Johor FC tersebut pada musim ini, sekurang-kurangnya kehadiran mereka jelas memberikan impak yang cukup besar terhadap pencapaian skuad Johor FC.
Dibantu oleh bakat muda yang cemerlang seperti Fahruzzahar Ali, Mohd. Azwad Md. Arip dan Khairi Kiman, impian Johor FC untuk layak ke final Piala Malaysia buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mustahil sebenarnya.