Sabtu, 16 Ogos 2008

KEKUATAN MENTAL JADI PENENTU

Kekuatan mental jadi penentu

BEIJING - Kekuatan mental akan menjadi penentu kejayaan antara Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China yang akan bertarung pada perlawanan akhir acara badminton perseorangan lelaki pada Sukan olimpik XXIX hari ini.
Menyedari hakikat itu, Chong Wei menyiapkan dirinya dengan ketahanan mental menjelang perlawanan besar itu.
Dia bukan sahaja berdepan Lin Dan tetapi juga berdepan ribuan penyokong pemain lawannya itu.
Pingat emas sudah terhidang di depan mata dan kini terpulang kepada Chong Wei untuk meraihnya. Perak sudah pasti dalam genggamannya.
Jika ia menjadi kenyataan, Chong Wei akan mencipta sejarah dengan menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama negara.
Tanpa mahu mengganggu persiapan Chong Wei, jurulatihnya Misbun Sidek tidak membenarkan media menemu ramah anak didiknya yang berumur 26 tahun itu termasuk dirinya sendiri.
"Chong Wei telah menang pertempuran tetapi belum lagi peperangan. Dia hanya melakukan latihan ringan dan mempersiapkan mentalnya, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian," kata pengurus pasukan, Datuk Lim Teong Kiat.
"Perlawanan akhir adalah perjuangan untuk maruah negara," kata Chong Wei sebaik menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-il 21-18, 13-21, 21-13 pada perlawanan separuh akhir kelmarin.
Tiada sebarang keraian menyambut kemenangannya itu kerana perjuangannya masih belum berakhir.
"Dia hanya pulang (ke perkampungan sukan) dan makan malam seperti biasa," kata Teong Kiat.
KEKUATAN mental Chong Wei akan diuji sekali lagi apabila berdepan dengan Lin Dan pada perlawanan akhir malam ini.
Menjelang perlawanan besar itu, tekanan dilihat memihak kepada Lin Dan yang menyifatkan Chong Wei sebagai pemain perseorangan terbaik kejohanan.
Kenyataannya itu mungkin cuba untuk meredakan tekanan ke atas dirinya untuk menyumbang emas kepada China dalam acara perseorangan lelaki yang kali terakhir menjadi milik mereka pada Sukan olimpik 2000 di Sydney.
Lin Dan juga mungkin terganggu dengan berita kekalahan tunangnya Xie Xingfang, pemain pilihan perseorangan wanita yang tewas kepada rakan senegara, Zhang Ning untuk mengekalkan gelaran juara.
Pertarungan antara Chong Wei dan Lin Dan bermula sejak Kejohanan Remaja Asia 2000 dengan Chong Wei berjaya menewaskan Lin Dan dengan hanya satu mata.
Pertembungan terakhir antara mereka ialah pada perlawanan kumpulan Piala Thomas di Indonesia Mei lepas, dengan kemenangan juga memihak kepada Chong Wei 21-12, 21-14.
Mereka bertemu dua kali tahun ini dan pada Terbuka Swiss sebelum kejohanan Piala Thomas, Lin Dan menewaskan Chong Wei 21-13, 21-18.
Dalam keseluruhan 15 pertembungan antara mereka, Lin Dan menang sembilan kali.

3 ulasan:

Abdul Malek berkata...

Hari ini 17/08/2008 adalah hari yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia,di mana perlawanan akhir acara akhir badminton perseorangan lelaki Lee Chong Wei akan bertemu dengan Lin Dan jaguh nombor satu dunia dari China akan bertanding merebut pingat emas dan seterusnya dinobatkan sebagai jaguh badminton sukan olimpik.Pertandinag akhir ini dijangkakan pada pukul 6.30 petang waktu Malaysia.Ayuh,kita beri sokongan yang padu kepada Lee Chong Wei untuk menguatkan semangat mental beliau ketika bertanding di halaman tembok besar China ini.Semoga Chong Wei dapat menangkis ribuan sorakan penyokong China dan seterusnya berjaya merangkul emas tunggal untuk negara tercinta Malaysia.Good Luck Lee Chong Wei....

aiShaH berkata...

Keputusan tidak memihak kepada kita.. tapi takpe atleast sebutir pingat berjaya di bawa balik oleh team Malaysia setakat nie

EmBuN PaGi berkata...

Salam,

setuju dengan puan,
at least ada la seketul...dari balik dengan tangan kosong.Tahniah kepada Chong wei.

embun Pagi.