Ahad, 14 September 2008

PRO&KONTRA:IMPORT ATLIT LUAR WAJAR DIPERTIMBANG UNTUK OLIMPIK

Oleh Raja Ahmad Zainuddin
KETIKA saya cuba menghubungi rakan saya yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Sabtu lalu, beliau kebetulan berada di China kerana Sukan Paralimpik di Beijing. Saya tertarik dengan pandangan Ismail Sabri yang mahu segera mewujudkan program sukan ke arah sasaran memperoleh pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London dan 2016 di Tokyo. Kenyataannya pada 30 Ogos lalu adalah tepat kerana selepas tamatnya Sukan Olimpik Beijing, usaha untuk memajukan sukan tidak boleh berhenti setakat itu saja. Menarik lagi, kenyataan menteri berkenaan yang menekankan bahawa sasaran Malaysia kali ini adalah pingat emas berbanding sebelum ini hanya sasaran pingat tanpa mengira warna. Biarpun keutamaan bagi merealisasikan hasrat negara ialah menerusi badminton, memanah dan berbasikal, namun bidang lain juga mungkin boleh dilihat kemungkinannya. Sebenarnya dalam merealisasikan usaha ini beberapa cara boleh dilakukan secara bersungguh-sungguh, antaranya ‘mengimport atlit luar’ mewakili Malaysia seperti dilakukan oleh beberapa negara Eropah dan kini merebak ke Singapura. Dengan menawarkan kerakyatan kepada atlit yang benar-benar berpotensi merangkul pingat, tidak akan merugikan negara. Selain berpotensi memiliki pingat, pengalaman atlit ini akan mampu menjadi perangsang kepada atlit tempatan. Saya lihat beberapa negara Afrika, Amerika Tengah dan Asia Tengah boleh dijadikan sasaran untuk usaha seperti ini. Mungkin perkara ini boleh ditimbulkan dan dibincangkan secara terperinci melalui konvensyen sukan yang akan dijadikan sebagai ‘blue print’ dasar sukan yang dijangka diadakan selepas Aidilfitri nanti. Saya berharap mereka yang dijemput ke konvensyen berkenaan yang terdiri daripada atlit, wakil persatuan sukan dan juga penulis sukan di negara ini mampu melihat kemungkinan berkenaan. Satu contoh jelas sumbangan pemain luar yang berpengalaman terbukti pada Kejohanan Bola Keranjang Antarabangsa (MIBC) di Stadium Maba malam Jumaat lalu apabila dengan dua pemain jemputan Amerika - Brad Bridgewater dan Jamal Brown - Malaysia berjaya mengalahkan Singapura yang hampir dibarisi semua pemain import. Berbekalkan semangat pemain tempatan dan hanya dua pemain jemputan, kita mampu menang dengan Singapura yang mulanya dikatakan mudah untuk membaham pasukan kita pada kejohanan itu. Berbalik kepada usaha menggapai pingat emas ini, saya rasa faktor lain yang penting ialah pengorbanan. Kita lihat saja bagaimana jurulatih Datuk Misbun Sidek yang berkorban meninggalkan isterinya yang sedang sakit untuk menjamin Datuk Lee Chong Wei mencapai pingat perak. Pengorbanan seperti ini sangat penting bukan saja di kalangan atlit tetapi juga jurulatih dan pegawai. Sikap tabah dan melawan tekanan oleh Misbun ini penting untuk dijadikan ‘azimat’ oleh semua pihak jika sasaran emas seperti yang diharapkan oleh menteri berkenaan mahu dijadikan kenyataan