Sabtu, 30 Ogos 2008

ATLIT MALAYSIA MAMPU MENYERLAH

Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar bhsukan@bharian.com.my
MALAYSIA berkeupayaan memenangi pingat pada Sukan Olimpik London 2012 jika memulakan segera langkah perancangan dengan tumpuan utama diberikan dalam aspek pembangunan dan jurulatih. Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, berkeyakinan atlit Malaysia mampu menyerlah dalam sukan yang dipertandingkan dan tidak mustahil mengecap pingat. “Bagaimanapun, program itu seharusnya dibuat dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengenal pasti atlit berpotensi mulai sekarang, sekali gus memberikan pendedahan secara menyeluruh meliputi aspek fizikal, mental dan sosial,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Program Bengkel Sains Sukan dan Perubatan di Pusat Satelit ISN di Batu Uban, Pulau Pinang, semalam.

Seramai 193 jurulatih menghadiri bengkel kelima yang menjurus kepada aspek fizikal, mental dan pemakanan itu. Dr Ramlan menjelaskan, pendekatan baru yang diperkenalkan termasuk menubuhkan Pusat Satelit ISN dengan kerjasama MSN di seluruh negara sebagai salah satu usaha menjurus ke arah melahirkan atlit berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa. “Kita tidak lagi mahu atlit yang dipilih dibiarkan tercicir seperti amalan lalu yang akhirnya,” katanya.
Dr Ramlan turut menjelaskan penubuhan pusat satelit di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kota Kinabalu selepas Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuantan.

1 ulasan:

Abdul Malek berkata...

Untuk memenangi pingat emas di sukan olimpik paralimpik perlulah latihan dan komitmen yang tinggi bukan hanya berbekalkan keyakinan diri sahaja.Pemilihan yang tepat dikalangan atlit yang berbakat diperingkat awal adalah penting untuk mendapatkan pingat emas dalam sukan paralimpik akan datang.Peranan media haruslah selari dengan pencapaian atlit yang disasarkan mendapat pingat, sebaliknya memberi suntikan semangat terhadap mereka.