Isnin, 11 Ogos 2008

MENGHARAP JASA TERAKHIR

Mengharap jasa terakhir
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIEnanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my
KHIDMAT Andres Fuentes pasti ditagih skuad Johor FC ketika berdepan Selangor pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam esok.

TIADA lagi nama-nama seperti Andres Fuentes Gustavo, Walter Ariel Silva dan Mouise Moudourao yang akan meniti di bibir peminat setia Johor FC pada saingan musim depan.
Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk tidak lagi menggunakan tenaga import pada musim depan, kehebatan ketiga-tiga pemain tersebut dalam membantu Sang Lebah layak sehingga ke saingan separuh akhir Piala Malaysia ketika ini pastinya meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan.
Apa yang pasti, kredibiliti ketiga-tiga tonggak tersebut sememangnya ditagih semasa menentang Gergasi Merah, Selangor dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam esok.
Berdasarkan reputasi semasa, nama Andres Fuentes sememangnya tidak asing bagi penyokong setia pasukan berstatus kelab itu.
Mempunyai larian deras serta kawalan bola yang mengagumkan, kelibat Andres Fuentes wajar diberikan perhatian oleh pertahanan Selangor jika tidak mahu berputih mata di gelanggang sendiri.
Begitu juga dengan Walter Ariel. Meskipun gagal menyerlah dalam edisi Piala Malaysia kali ini ekoran faktor kecederaan, dia kembali bangkit mempamerkan aksi sebenar termasuk ketika memadam cabaran UPB-MyTeam dengan agregat 6-4 pada aksi suku akhir yang lalu.
Malah, kelebihan Walter Ariel dalam membuat hantaran cantik dari tengah padang serta dibantu oleh pemain tempatan berbakat seperti Eddy Helmi Manan dan See Kok Luen menjadikannya sungguh berbahaya jika tidak dirantai sepenuhnya.
Moise Moudourou juga tidak kurang hebat. Sering menjadi benteng terakhir yang menjadi pilihan jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid, dia sering tenang mengawal kubu Sang Lebah bersama kapten pasukan, Wan Rohaimi Wan Ismail.
Cuma yang menjadi masalah, sikap Moise yang gemar naik membantu jentera serangan kadangkala boleh mengundang padah terutamanya ketika berdepan dengan pasukan yang sering melakukan serangan pantas.
Walaupun mungkin dianggap jasa terakhir ketiga-tiga pemain import Johor FC tersebut pada musim ini, sekurang-kurangnya kehadiran mereka jelas memberikan impak yang cukup besar terhadap pencapaian skuad Johor FC.
Dibantu oleh bakat muda yang cemerlang seperti Fahruzzahar Ali, Mohd. Azwad Md. Arip dan Khairi Kiman, impian Johor FC untuk layak ke final Piala Malaysia buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mustahil sebenarnya.

1 ulasan:

Abdul Malek berkata...

Pada musim hadapan iaitu pada tahun 2009, dijangkakan era bolasepak Malaysia akan kembali ke zaman kemeruduman kegemilangan bolasepak Piala Malaysia yang tersohor di negara ini.Ini ekoran daripada keputusan yang di buat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM)menghentikan pengambilan atau penglibatan pemain-pemain import dari luar bermain di negara ini.Natijahnya, mutu bolasepak Malaysia akan ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara yang menagih pemain import untuk meningkatkan mutu bolasepak negara masing-masing untuk bersiang di persada dunia.